PENTING : Pengisian Data SPPICTS

Dimaklumkan kepada semua sekolah Ahli PKG Kg. Pandan, sistem SPPICTS sedang menghadapi masalah teknikal. Oleh yang sedemikian, pihak sekolah diminta untuk menghentikan segala proses pengisian dan pengemaskinian data. Pihak yang berkenaan sedang cuba mengatasi masalah yang sedang berlaku. Pihak sekolah akan dimaklumkan apabila segala masalah diselesaikan dan proses pengisian dan pengemaskinian data akan berlangsung seperti biasa apabila masalah selesai. Sila hubungi PKG Kg. Pandan ( En. Mohd Seth bin Yusof ) jika ada sebarang pertanyaan bagi perkara ini. Segala kesulitan amat dikesali. Harap maklum.

Disediakan oleh : MFM

Projek Proof Of Concept (POC) Makmal Bahasa Bagi Program Memartabatkan Bahasa Malaysia Dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris

Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia telah dipertanggungjawabkan bagi melaksanakan Makmal Bahasa di bawah Program MBMMBI seperti mana yang telah diputuskan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk MBMMBI Bil. 3/2009 yang telah dipengerusikan oleh Y.A.B Menteri Pelajaran pada 5 Oktober 2009.
Lanjutan dari itu, SK Taman Maluri telah terpilih dari kalangan Sekolah Ahli PKG Kg. Pandan untuk melaksanakan POC Makmal Bahasa ini. Satu taklimat telah diadakan di BTP Bukit Kiara dan suka dimaklumkan bahawa pada 30 Mac 2010, satu lawatan tapak akan diadakan di sekolah berkenaan. Lawatan ini akan di hadiri oleh pihak BTP, PKG dan Syarikat yang terlibat. Tempoh projek POC ini akan dilaksanakan ialah sepanjang bulan April 2010.

Disediakan oleh : MFM

Data Maklumat Aset ICT Sekolah

Salam 1 Malaysia

Makluman Kepada Guru Penyelaras Bestari (GPB) dan Guru ICT (GICT)

Sila periksa No. Daftar Harta Modal (DHM) peralatan ICT sekolah anda pada Sistem Data Maklumat ICT dan pastikan kesemua No. DHM peralatan ICT sekolah anda berada di dalam sistem tersebut. Jika ada, sila berikan maklumbalas anda kepada kami diruang komen dibawah untuk pemerhatian pihak PKG Kg Pandan.

Jika No. DHM peralatan ICT sekolah anda tiada ataupun tidak semua No. DHM anda berada di dalam sistem tersebut, sila hubungi pihak PKG Kg Pandan ataupun anda juga boleh memberikan maklumbalas anda diruang komen dibawah. Sertakan:
  • Nama anda
  • Nama sekolah
  • DHM Lengkap / Tidak Lengkap
  • Catatan
Untuk makluman bagi sekolah yang tidak lengkap No. DHM tersebut, anda mempunya dua pilihan. Pertama, anda boleh mengisi sendiri semua No. DHM peralatan ICT sekolah anda dari tahun 2004 hingga 2009 di dalam sistem tersebut. Kedua, anda boleh menghantar salinan No. DHM peralatan ICT sekolah anda ke PKG Kg Pandan sebelum atau pada 31 MAC 2010. Pastikan lima perkara penting ada di dalam salinan tersebut bagi memudahkan pihak syarikat yang bertanggungjawab menguruskan sistem ini memasukkan data No. DHM anda.
  1. No. Siri Pendaftaran
  2. Nama Aset
  3. Tarikh Perolehan
  4. Harga Perolehan
  5. Jenis Peralatan
Sebarang pertanyaan boleh menghubungi pihak PKG Kg Pandan.

Nota: Guru GPB/GICT bertanggungjawab mengisi sendiri semua
No. DHM peralatan ICT bagi tahun 2004 .

Terima Kasih.

Disediakan oleh:
MSY

Pengisian Data SPPICTS

Sistem Pemantauan Penggunaan ICT di Sekolah (SPPICTS) telah ditambah baik menjadikan pemantauan semakin menyeluruh. Beberapa dimensi baru telah dimasukkan ke dalam sistem pemantauan ini. Dimensi pemantauan kini meliputi:

1. Pusat Akses Sekolah

2. Makmal Komputer

3. Capaian Internet

4. Perisian Kursus Pendidikan

5. Peralatan PPSMI

6. Perkongsian Pintar

7. EduWebTV

8. ICT dalam Pengurusan dan Pentadbiran

Kutipan data penggunaan inisiatif ICT di sekolah akan dilaksanakan secara online sebanyak tiga (3) kali iaitu:

a. 21 Mac hingga 9 April 2010 ( Sila Ambil Perhatian )

b. 20 Jun hingga 9 Julai 2010

c. 19 September 8 Oktober 2010

Pihak sekolah haruslah melengkapkan data penggunaan ICT sekolah dalam SPPICTS sepenuhnya agar dapat dikemukakan kepada pihak Pengurusan Tertinggi Kementerian Pelajaran Malaysia berdasarkan masa yang telah ditetapkan.


Disediakan oleh : MFM

Edaran Bahan Terbitan Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia 2009

Dimaklumkan kepada semua Sekolah ahli, PKG Kg. Pandan akan mengedarkan Bahan Media terbitan Bahagian Teknologi Pendidikan KPM. Sehubungan dengan itu dipohon wakil sekolah untuk mengambil bahan tersebut di Pusat Kegiatan Guru Kampung Pandan pada ketetapan berikut :

Tarikh : 5 hingga 16 April
Masa : 8.00 pagi - 4.00 petang

Sila bawa bersama COP SEKOLAH bagi tujuan pengesahan penerimaan bahan tersebut. Sebarang pertanyaan sila hubungi PKG Kg. Pandan di talian 03 9283 0550 (Pn. Zaharah binti Mohd Hashim). Kerjasama semua pihak untuk mematuhi tempoh dan masa penggambilan bahan adalah amat di harapkan.
Sila rujuk kepada surat bernombor BTPN(KL)8800/1/2/(10) dan bertarikh 15 Mac 2010.


Disediakan oleh: MFM

Cuti Pertengahan Penggal 2010

Bermula 13 Mac 2010 cuti pertengahan penggal akan bermula hingga 21 Mac 2010. Kepada semua pelajar yang akan bercuti diharapkan dapat memanafaatkan cuti sekolah dengan perkara yang berfaedah. Tempoh bercuti bukan bermakna proses pembelajaran terhenti seketika, namun pelbagai perkara yang berlaku dalam tempoh bercuti masih boleh dianggap proses pembelajaran secara tidak langsung. Rajin rajinlah membaca dan gunakanlah teknologi yang ada untuk menambah pengetahuan.Layari http://btpnkl.edu.my/cerdiknet/ jika berminat untuk melakukan ulangkaji pelajaran.
Untuk guru-guru, selamat bercuti diucapkan. Mudah mudahan selepas sekolah dibuka nanti, masing masing akan melangkah semula ke sekolah dengan semangat dan azam yang tinggi untuk menunaikan amanah dan tanggung jawab. Selamat bercuti dari seluruh warga PKG Kampung Pandan KL.

Disediakan oleh : MFM

Keputusan SPM dan STAM 2009

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dalam kenyataan semalam, berkata calon yang menduduki kedua-dua peperiksaan itu boleh mendapatkan keputusan mereka di sekolah masing-masing bermula jam 10 pagi hari berkenaan (11 Mac 2010 ).

Katanya, calon persendirian pula akan mendapat keputusan mereka melalui pos, yang akan dihantar oleh Jabatan Pelajaran Negeri.

“Jumlah keseluruhan calon yang menduduki peperiksaan SPM 2009 ialah 465,853 orang. Sebanyak 3,569 pusat peperiksaan dengan 23,864 petugas peperiksaan disediakan untuk mengendalikan peperiksaan berkenaan,” katanya.

Sumber : Berita Harian Online 07/03/2010


Disediakan oleh: MFM

Taklimat Perubahan Standard MS ISO


Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kuala Lumpur akan mengadakan Taklimat Perubahan Standard MS ISO daripada versi 9001:2000 kepada versi 9001:2008. Taklimat ini bertujuan memberi pengetahuan dan pemahaman kepada Ahli Pasukan Petugas Kualiti. Kepada pegawai - pegawai berkaitan, sila rujuk surat bernombor BTPN(KL)8800/1/3(102). Taklimat akan diadakan seperti ketetapan berikut :

Tarikh : 11 Mac 2010
Masa : 9.00 Pagi - 1.00 Petang
Tempat : Bilik Bunga Raya, BTPNKL


Disediakan Oleh : MFM

Kursus Kajian Tindakan

10 Mac 2010, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kuala Lumpur telah menganjurkan Kursus Kajian Tindakan untuk Pegawai Teknologi Pendidikan dari BTPNKL dan PKGKL di bawah kendalian Unit Latihan BTPNKL. En. Rani bin Rahman dari Sektor Dasar, Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan penceramah jemputan bagi kursus ini.
Disediakan oleh : MFM

Salinan Daftar Harta Modal (DHM)

Peringatan kepada Guru Penyelaras Bestari (GPB) dan Guru ICT (GICT)

Surat pekeliling Daftar Harta Modal
Pertama dan Kedua yang telah dikeluarkan pada tahun lepas sebagai rujukan semua GPB & GICT untuk membuat salinan.

Kepada sekolah ahli yang masih belum menghantar salinan Daftar Harta Modal (DHM) peralatan ICT dari tahun 2005, sila hantar DHM yang telah lengkap ke PKG sebelum 31 Mac 2010 untuk mengelakkan dari pihak guru mengisi sendiri DHM ICT sekolah pada Sistem Aset dan STS. Jika sudah dihantar tetapi No. Daftar Harta Modal peralatan ICT sekolah tiada di dalam sistem STS dan Aset, anda boleh menghantar salinan tersebut sekali lagi dan pastikan No. DHM tersebut lengkap bagi mengelak dari data anda ditolak sekali lagi.

Sebarang masalah, pihak GPB & GICT boleh menghubungi PKG untuk keterangan lanjut.

Nota:
  1. Pihak GPB & GICT boleh memuat-turun salinan DHM Pertama dan Kedua melalui link yang telah disediakan di atas.
  2. Pihak GPB & GICT bertanggungjawab untuk mengisi sendiri semua No. Daftar Harta Modal (DHM) peralatan ICT untuk tahun 2004 kerana syarikat hanya mengisi No. DHM tersebut untuk tahun 2005 dan ke atas sahaja.
Disediakan Oleh:
MSY

Perhimpunan Bulanan BTPNKL Bil 2/2010

Perhimpunan Bulanan kali ke 2/2010 telah berlansung di Bilik Cempaka 1, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Unit Hal Ehwal Pusat Kegiatan Guru telah diamanahkan untuk mengelolakan Perhimpunan Bulanan bil 2/2010. Atur cara majlis di mulakan dengan bacaan doa di ikuti dengan nyanyian lagu Negaraku dan Lagu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. En. Zainuddin bin Hj. Othman selaku Pengerusi Pengelola Perhimpunan Bulanan Bil 2/2010 telah menyampaikan ucapan aluan dan diikuti ucap utama oleh En. Mohd Sanusi Saseetharan bin Abdullah, Ketua Penolong Pengarah BTPNKL. Tema bagi Perhimpunan kali ini ialah Perkhidmatan Berkualiti, Integriti Terpuji. Tema Perhimpunan bulanan pada kali ini telah diulas dengan mendalam oleh Tuan Ketua Penolong Pengarah BTPNKL. Tahniah di ucapkan kepada semua warga BTPNKL dan PKGKL yang telah mendapat cenderamata sempena ulangtahun kelahiran. Tahniah juga diucapkan kepada En. Abdul Halim bin Abu Samah, Pegawai Teknologi Pendidikan BTPNKL yang telah menerima Anugerah Staf Harapan bagi bulan Februari 2010



Disediakan oleh : MFM

Taklimat Pemasangan Dan Pengurusan MSS Antivirus

Kepada Guru Penyelaras Bestari sekolah ahli, pihak PKG Kg Pandan telah membekalkan satu CD antivirus Kaspersky untuk kegunaan anda di sekolah berserta Surat Akuan Penerimaan (SAP). Sila lengkapkan dan serahkan satu salinan akuan penerimaan cd tersebut kepada pihak PKG Kg Pandan untuk simpanan pihak PKG.

Untuk mengetahui dan memahami lebih lanjut lagi berkenaan taklimat tersebut, pihak BTPN KL iaitu Unit ICT BTPN KL bersama PKG Kg Pandan telah menyediakan maklumat dan bahan sebagai rujukan pihak tuan. Sila 'klik' Taklimat Guru ICT 2010 dilaman Pautan Teknologi Pendidikan.

Sekian,terima kasih.

Disediakan oleh:
MSY

Mesyuarat Agung Persatuan Perpustakaan Sekolah Kuala Lumpur Kali Ke Lima

Persatuan Perpustakaan Sekolah Kuala Lumpur akan mengadakan Mesyuarat Agung kali ke lima pada ketetapan berikut :

Tarikh : 6 Mac 2010 ( Sabtu )
Masa : 8.00 Pagi
Tempat : Bilik Cempaka 1, Bhg. Teknologi Pendidikan Negeri, Kuala Lumpur

Sehubungan dengan itu, semua ahli Persatuan Perpustakaan Sekolah Kuala Lumpur diwajibkan hadir dalam mesyuarat tersebut.

Semoga dengan sokongan dan kehadiran tuan/puan akan melancarkan lagi pengurusan Persatuan Perpustakaan Sekolah Kuala Lumpur pada tahun ini.


Agenda mesyuarat adalah seperti berikut :

1.Ucapan Tn. Hj. Adenan bin Deraman
Penasihat Persatuan Perpustakaan Sekolah Kuala Lumpur

2. Mesyuarat Agung kali ke 5

3. Meluluskan Minit Mesyuarat Agung Keempat ( 2008 )

4. Pembentangan dan Penerimaan Laporan Tahunan 2008, Persatuan Perpustakaan Sekolah Kuala Lumpur

5. Pembentangan dan meluluskan Laporan Kewangan Tahunan berakhir 31 Disember 2008

6. Pemilihan Ahli Lembaga bagi sesi 2010/2012

7. Pindaan Perlembagaan ( jika ada )

8. Ucapan Penangguhan

Sebarang pertanyaan sila hubungi Pn . Hajjah Noorayni binti Othman (urusetia) di talian 03 9173 3010 atau 03 2698 3567


Disediakan oleh MFM


Pengunaan Bilik Seminar dan Bilik Mesyuarat PKG Kg. Pandan

Pusat Kegiatan Guru Kampung Pandan, Kuala Lumpur mempunyai kemudahan Bilik Seminar dan Bilik Mesyuarat. Kemudahan ini adalah terbuka kepada semua agensi pendidikan khususnya JPWP, PPD dan pihak Sekolah yang ingin menganjurkan sebarang aktiviti rasmi. Bilik Seminar PKGKP boleh menampung kapasiti 50 orang manakala Bilik Mesyuarat PKGKP pula boleh menampung kapasiti 25 orang. Kepada semua pihak yang berminat untuk mengunakan kemudahan ini, sila kemukakan surat permohonan terus kepada Pegawai Teknologi Pendidikan, Pusat Kegiatan Guru Kampung Pandan. Tempahan hendaklah dikemukakan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan.


Disediakan oleh MFM

Taklimat Penyelarasan Tugas Guru Penyelaras Bestari (GPB) / Guru Penyelaras ICT (GICT)

Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kuala Lumpur akan mengadakan Taklimat Penyelarasan Tugas Guru Penyelaras Bestari (GPB) / Guru Penyelaras ICT (GICT) untuk GPB dan GICT bagi sekolah ahli PKG kg. Pandan pada ketetapan berikut :

Tarikh : 5 Mac 2010 ( Jumaat )
Masa : 8.00 pagi - 4.30 petang
Tempat : Dewan Kuliah, Pusat Kegiatan Guru Bangsar

Antara perkara-perkara yang akan disampaikan dalam taklimat berkenaan ialah :

1. Pemasangan dan pengurusan MSS Anti Virus
2. STS-DHM
3. SPPICTS / PROJEK LAN
4. SSQS

Kepada semua GPB / GICT sekolah ahli PKG Kg. Pandan, sila ambil maklum berkaitan tempat taklimat ini dijalankan. sebarang pertanyaan sila hubungi En. Mohd Seth bin Yusof di talian 03 92830550 atau 013 3180923.

Nota :
  1. Sila bawa komputer riba
  2. Perkongsian kereta adalah digalakkan kerana tempat letak kereta adalah terhad
Disediakan oleh MFM

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 Kali ke 29





Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 akan berlangsung mulai 19 hingga 28 Mac 2010 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur. Dapatkan perkembangan terkini maklumat melalui www.kualalumpurbookfair.com/



Disediakan oleh MFM

Bengkel Pengintegrasian Support Ticketing System (STS) Bersama Data Maklumat Peralatan ICT Sekolah

Bengkel ini di adakan dengan inisitif Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kuala Lumpur dengan kerjasama pihak vendor yang membangunkan sistem gabungan STS-DHM dan Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia bertempat di Makmal Komputer BTPNKL pada 3 Mac 2010. En. Mohd Fakruddin bin Musa dan En. Mohd Seth bin Yusof dari PKG kg. Pandan telah menghadiri bengkel ini dan di harapkan dengan pembangunan sistem ini akan memudahkan segala pengurusan aset berkaitan ICT di sekolah-sekolah.






Disediakan oleh MFM

Program NILAM


Latar Belakang

Satu tamadun bangsa hanya dapat dibina melalui masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu. Cara utama membina budaya ilmu adalah melalui amalan membaca sebagai budaya hidup.


Program NILAM

NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca) merupakan penggabungan atau adunan semua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai. Program ini merupakan satu pendekatan untuk mengatasi masalah yang menghalang penyuburan tabiat membaca di kalangan warga sekolah.


Matlamat

Membina tabiat membaca yang berkekalan di kalangan murid.


Pelaksanaan

Program NILAM mempunyai dua tahap iaitu:

Tahap I : Jauhari

Tahap II: Rakan Pembaca


Tahap JAUHARI

  • Membina kemahiran dan minat membaca sehingga menjadi satu tabiat.
  • Murid wajib mengikuti aktiviti galakan membaca di sekolah
  • Menggunakan kemudahan meminjam buku melalui Pusat Sumber Sekolah dan lain-lain sumber.
  • Mula dinilai dati Tahun 1 hingga Tahun 6 (Sekolah Rendah) dan dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 (Sekolah Menengah).

Tahap RAKAN PEMBACA (RP)

  • Kebolehan murid membimbing dan menarik minat rakan lain supaya suka membaca.
  • Setelah membaca 100 naskah buku, murid layak memasuki Tahap Rakan Pembaca.
  • Murid dibimbing oleh guru secara kumpulan melalui bengkel dan tunjuk cara.
  • Buku yang dipinjam dari Pusat Sumber Sekolah atau dari sumber lain akan dipinjamkan kepada rakan, anggota keluarga, jiran dan lain-lain.
  • Markah akan diambil kira mengikut penglibatan aktiviti kekerapan, bilangan pinjaman, pendengar dan pembaca.

Contoh Aktiviti Rakan Pembaca (RP)

a. Bercerita

b. Membaca Bersama
c. Bicara Buku
d. Meminjam buku
e. Pidato
f. Ulasan buku
g. dan lain-lain


Sistem Ganjaran dan Pengiktirafan


Tahunan

Buku Rekod Kemajuan
♦ Kad Kumulatif


Keseluruhan

Selepas 6 tahun di sekolah rendah dan 5 tahun di sekolah menengah.

♦ Sijil Berhenti Sekolah

♦ Surat Akuan Sekolah

Dipetik dari blog Unit Perkhidmatan Sumber Pendidikan BTPNKL


Disediakan oleh : MFM

KURSUS "OPTICAL FIBRE CABLE TESTING"

Pada 24 dan 25 Febuari 2010, Pegawai Teknologi Pendidikan Pusat Kegiatan Guru Kampung Pandan iaitu En. Mohd Fakruddin bin Musa telah menghadiri kursus ini di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) , Kulim. Kursus ini bertujuan untuk memberi ilmu berkaitan dengan pengujian "fibre Optic"yang dipasang di 17 buah sekolah ahli PKG Kg. Pandan yang terlibat dengan projek LAN. Kursus ini juga dapat membantu Pegawai dari PKG dalam menjalankan pemantauan dan membuat pengujian User Acceptance Test ( UAT ) serta membuat pengesahan bagi pemasangan LAN di sekolah. Terima kasih di ucapkan kepada tenaga pengajar iaitu En. Kamar bin Nasir dan Cik Hanifah binti Zabiri diatas perkongsian ilmu sepanjang kursus ini di jalankan. Kursus ini telah di tutup dengan rasminya oleh En. Kamar bin Nasir mewakili Pengarah Unit, Pusat Latihan Teknologi Tinggi ( ADTEC ) Kulim. Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih juga kepada Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Pulau Pinang di atas segala jasa baik dalam dalam tempoh kursus ini berlangsung





Disediakan oleh MFM

Bengkel Pemasangan Dan Pengurusan MSS Anti Virus

1 Mac 2010, satu bengkel berkaitan pemasangan dan pengurusan MSS Anti Virus sedang dilaksanakan di Bilik Cempaka 2, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kuala Lumpur. En. Mohd Fakruddin bin Musa dan En. Mohd Seth bin Yusof telah hadir bagi mewakili PKG Kg. Pandan dalam bengkel tersebut. Antara yang turut terlibat di dalam Bengkel ini ialah pihak BTP, BTPN, PKG, GITN dan pihak Vendor. Antara tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk membantu pihak sekolah ahli PKG dalam proses pemasangan dan pengurusan MSS Anti Virus yang telah dibekalkan oleh pihak GITN. Satu taklimat akan dilaksanakan kepada pihak sekolah ahli PKG Kg. Pandan pada 5 Mac 2010 bertempat di PKG Bangsar, Kuala lumpur. Bagi pihak sekolah yang mempunyai sebarang pertanyaan berkaitan taklimat tersebut, pihak sekolah boleh menghubungi En. Mohd Fakruddin bin Musa di talian 03 92830550 atau 019 9302848.


Disediakan oleh MFM