Selamat Menyambut Hari Buku Sedunia

Setiap tahun kita merayakan hari-hari terpenting dan teristimewa dalam kehidupan kita. Kita merayakan hari-hari kebesaran agama, Hari Wanita, Hari Pekerja dan tentu sekali Hari Lahir kita dan tidak kurang juga merayakan Hari Guru yang bakal disambut pada bulan Mei nanti. Pokoknya, ada bermacam hari istimewa dalam kehidupan kita. Tarikh 23 April juga merupakan hari istimewa, tetapi keistimewaannya sering dilupakan, apatah lagi ia juga semacam hari-hari biasa yang kita lalui. Barangkali tidak ramai yang menyedari bahawa tarikh 23 April adalah Hari Buku Sedunia, suatu hari yang dirayakan sebagai simbol penghargaan tertinggi kepada 'makhluk' bernama 'buku' yang tidak jemu-jemu mencerdaskan manusia dan peradabannya.

Sempena Sambutan Hari Buku Sedunia yang disambut pada 23 April 2010 kali ini, marilah kita seluruh warga pendidik menanam perasaan cinta dan sayang kepada buku dan menanam minat membaca agar dapat memberi implikasi signifikan bahawa Sekolah adalah kota ilmu yang di dalamnya dihuni oleh manusia 'berbudaya' yang dicirikan oleh kecintaan kepada buku kerana pengaruh 'akhir' buku adalah melahirkan manusia yang beradab dan highly cultured. Di dalamnya terhimpun sifat manusia yang berilmu, manusia yang berfikir, manusia yang kritis, manusia yang menyanjung tradisi kecendiakawanan, keagamaan dan manusia yang memberi 'makna' kepada peradaban bangsanya.

Selamat Menyambut Hari Buku Sedunia.

Disunting dari hasil bingkisan SHAHAROM TM SULAIMAN

Disediakan oleh : MFM